02062020 : AQIDAH , KURAFAT DAN SYIRIK, KEIMANAN WAJIB DIPERKUKUHKAN, nukilan MJJ
02062020 : AQIDAH , KURAFAT DAN SYIRIK, KEIMANAN WAJIB DIPERKUKUHKAN, nukilan MJJ
Aqidah bererti kepercayaan, keyakinan atau keimanan yang mantap dan tidak mudah terurai oleh mana2 pengaruh sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.
Aqidah yang benar (sahih) adalah berlandaskan dalil2 syariah daripada
Al- Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas agama Islam.
Aqidah yang benar ialah mempercayai enam perkara rukun Iman iaitu percaya kepada Allah,malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya,kitab-kitab-Nya,hari akhirat,qadha dan qadar.
Keimanan kepada Allah SWT dengan mengakui kewujudan-Nya, Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang ,pemilik hari pembalasan.
Aqidah yang benar merupakan landasan tegaknya agama dan kunci diterima amalannya. Amalan seseorang tidak akan diterima oleh Allah kecuali amalan2 yang dilakukan oleh orang2 yang beriman yang berlandaskan aqidah,tidak bercampur kesyirikan.
Allah Ta’ala berfirman,
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“ Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang-orang sebelummu, "sesungguhnya jika engkau mempersekutukan (Allah ), nescaya akan terhapuslah seluruh amalanmu dan tentulah engkau termasuk dikalangan orang-orang yang rugi.” (QS. Az Zumar: 65)
Berdasarkan sejarah dan peradaban di Semenanjung Tanah Melayu , Bangsa Melayu telah beragama Islam selewatnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15 apabila Sultan Melaka memeluk agama Islam yang dibawa saudagar2 Islam dari Arab. Kesan sejarah juga membuktikan Islam telah bertapak lebih awal di beberapa tempat di Tanah Melayu seperti di Kelantan, Kedah dan Pahang.
Masyarakat Melayu pada awalnya mempunyai kepercayaan anamisma, percaya pokok, Sungai dan laut dan tempat-tempat tertentu ada penunggu , makhlok halus dan hantu jembalang yang perlu dihormati , tidak boleh dikacau ganggu.
Apabila masyarakat Melayu memeluk agama Islam kepercayaan dan amalan yang bercanggah dengan Islam masih tidak ditinggalkan sepenuhnya.
Amalan yang boleh membawa kepada syirik iaitu perbuatan mempersekutukan Allah dalam apa jua bentuk sama ada perkataan pegangan perbuatan dan iktikad masih tidak dapat dipisahkan.Mereka masih mempunyai kepercayaan karut dan tahyul yang membawa kepada unsur khurafat.
Antaranya dalam mendapatkan perubatan tradisional, perayaan, adat dan budaya.
Kaedah perubatan tradisional atau perbomohan adalah suatu keutamaan dalam masyarakat Melayu pada suatu ketika dulu (sebelum 1970an). Semasa itu belum ada bekalan letrik. Dalam suasana kegelapan ketika itu dikatakan banyak hantu jembalang berkeliaran.
Bomoh yg
mengubati
pesakit sering men gaitkan dengan hantu jembalang sebagai penyebab. Bomoh menghendaki disediakan makanan dan peralatan tertentu untuk diletakkan ditempat2 tertentu sebagai memujuk hantu jembalang agar pesakit kembali pulih.
Memang dalam Islam, kita disuruh berikhtiar dan berusaha mencari penawar kepada penyakit atau mencari jalan keluar kepada masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, dalam keghairahan berbuat demikian, ada batas-batas yang ditetapkan oleh agama untuk mengelak terlibat atau terjebak dalam perbuatan khurafat dan syirik.
Suatu ketika dulu (sebelum 1970an) orang-orang Melayu meraikan Temasya Mandi Safar pada setiap tahun apabila tiba bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. Mandi Safar adalah temasya mandi-manda di pantai termasuk di pantai Morib yang diadakan pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Dikatakan pada bulan safar banyak bala berlaku dan dikatakan Nabi Muhammad sakit tenat pada bulan Safar.
Amalan khurafat dan syirik juga berlaku dengan memuja perkuburan @ ngangkong untuk mendapatkan sesuatu spt untuk dapat nombor ekor, kekebalan, beroleh pelaris dan sebagainya.
Kemajuan teknologi dan kemudahan perubatan moden telah dapat mengubah daripada khidmat perbomohan yang dipenuhi amalan syirik dan kurafat.
Banyak lagi amalan syirik dan kurafat dalam masyarakat Melayu termasuk mandi safar dan memuja kubur dapat dibanteras. Kejayaannya adalah atas usaha pelbagai pihak khususnya tindakan tegas Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Jabatan Agama, peranan Pegawai dan AJK masjid.
Pada masa sama keimanan dan penghayatan masyarakat kepada agama semakin kukuh ekoran semakin ramai bijak pandai Islam dan penyampaian ilmu dan pengetahuan agama yg semakin luas.
Walau bagaimanapun, kini setelah negara mecapai kemerdekaan lebih enam puluh tahun, terdapat golongan bijakpandai tertentu yang berfahaman liberal dan amat bertoleransi dengan pelbagai agama yang lain hingga boleh menjejaskan aqidahnya.
Toleransi dalam pelbagai agama adalah sikap berlapang dada seseorang untuk menghormati dan membenarkan pemeluk agama yang lain untuk melaksanakan ibadah mereka menurut ajaran dan ketentuan agama masing2.
Namun demikian adalah tidak wajar pandangan pihak tertentu yang cuba meletakan semua agama adalah baik,sama setaraf dengan agama Islam.
Apatah lagi ada pihak tertentu yg berpandangan toleransi beragama adalah apabila mereka boleh mengisytiharkan bahawa mereka adalah penganut agama tertentu yg boleh mentafsir agama mengikut kemahuan sendiri.
Apakah pandangan sedemikian tidak memungkinkan aqidahnya boleh dipersoalkan?
Dalam hal toleransi beragama dikatakan terdapat pihak tertentu , dalam usaha mendapatkan pengaruh dan kuasa muktahir ini, sanggup membuat apa sahaja termasuk memasuki dan menghadiri upacara keagamaan di tempat2 ibadat agama lain dan turut sama atau merestui doa
daripada mereka untuk beroleh kejayaan dan kemenangan.
Apakah amalan dan tindakan sedemikian jika benar tidak
menimbulkan berlakunya khurafat dan syirik?
Keimanan wajib diperkukuhkan.
Keimanan yg kukuh akan membolehkan lima rukun Islam ditunaikan dengan sempurna; mengucap dua kalimah syahadah, solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan haji kepada yang berkemampuan.
Keimanan yang kukuh juga boleh menghindarkan perbuatan mungkar seperti mencuri, menipu,berjudi, minum arak, khalwat,berzina rasuah ,amalan kurafat dan syirik di mana-mana sahaja walaupun tidak ada orang lain yang melihatnya.
Namun demikian, sejarah membuktikan Keimanan boleh luntur atau tidak dapat dipertahankan apabila negara dalam huru hara, berlaku peperangan,rusuhan kaum, penderitaan dan kemiskinan. Dalam situasi yang sedemikian telah berlaku kekejaman, pembunuhan, rompakan dan kebimbangan untuk beramal sollleh hinggakan Keimanan tidak dapat dipertahankan.
Justeru itu peranan anggota keselamatan, Tentera dan Polis tidak boleh dianggap membazir dan diperlekehkan.
Mereka perlu sentiasa siap siaga agar negara kekal aman, peperangan dan rusuhan dapat dielakkan bagi memastikan Keimanan dapat diperkukuh dan dipertahankan.
Surah An-Nisa Ayat 48
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat dosa yang besar.
Penulis; Hj Muhamad Jasman Hj Jurami @
MJJ,
Mantan Pegawai Tadbir dan Diplomatik 1September 2019
1 Muharram 1441 H
Comments
Post a Comment