10022019 : IBADAH UMRAH; SEPANJANG PERJALANAN 22/1-2/2/19

 10021019 : IBADAH UMRAH; SEPANJANG PERJALANAN 22/1-2/2/19

Alhamdulillah saya bersama keluarga seramai tujuh orang dapat mengerjakan umrah dan selamat kembali ke tanah air.
Kami mengerjakan umrah melalui Kosas travel & tours Sdn Bhd, anak syarikat Koperasi Anak-anak Selangor Berhad (KOSAS). Pilihan dibuat berdasarkan harga yang kompetitif, tawaran perkhidmatan yang menarik dan  kami merupakan anggota KOSAS.

Penerbangan pergi dari KLIA ke Madinah dan pulang dari Jeddah ke KLIA dengan Syarikat penerbangan Saudi Arabia.

Rombongan kami kesemua berjumlah 38 orang,tidak semua ahli KOSAS diketuai Puan Yusnelly binti Yahya pegawai Kosas travel & tour dan seorang Mutawwif Ustaz Muhammad Faris pencetus ummah (PU) 2016. Terima kasih atas kerjasama kalian

Pakej umrah yang dipilih ialah umrah primium, di Madinah hotel Dar Eiman Al Mannar bertaraf 4 bintang, 100 meter dari Masjid Nabawi atau setaraf. Manakala di Mekah hotel Dar Eiman Royal Safwah  lima bintang 50 meter dari Masjidil Haram atau setaraf. Namun hotel kami yg sebenarnya semasa di Madinah ialah Nozol Al Monawara , manakala di Mekah  ialah hotel Millennium Tower yang dikatakan setaraf.

Cuaca di Mekah  ketika itu max 27 C minima 24 C, manakala di  Madinah max 25 C dan minima 23C. Rumput yg baru tumbuh di celah-celah batu di pergunungan kelihatan berwarna coklat dan kering.

Kekuatan KOSAS Travel & tour dalam menguruskan pakej  Umrah selama 12 hari 10 malam ,  22/1 - 2/2/19  ialah adanya Pencetus Ummah(PU) 2016 Ustaz Muhamad Faris yang masih muda sebagai mutawwif.

Ketika di Madinah Ustaz Faris telah membawa kami ziarah dalam, ke makam  Rasulullah , perkuburan Baqi  dan para sahabat . Kami telah  dibawa melawat muzium Al Quran yang menempatkan AlQuran yang awal tidak berbaris .Kami juga telah dibawa kekilang percetakan Al Quran King Fhad dengan beroleh  hadiah senaskah Al Quran.

Kami besyukur setelah berusaha beberapa kali akhirnya  kami dapat memasuki  dan berdoa di Raudhah, berhampiran mimbar masjid Nabawi.

Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa kira- kira 8 jam. Kami telah memakai  pakaian ihram dari hotel di Madinah bagi umrah kali pertama.

Ustaz Muhammad Faris telah  memimpin kami dalam mengerjakan umrah bermula dengan mandi sunat dan memakai pakaian ihram  di hotel, niat umrah di miqat, tawaf- mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula di bahagian penjuru Hajarulaswad, Saie ,- berjalan atau berlari anak bermula dari Safa dan berakhir di Marwah sebanyak 7 kali dan bertahalul - memotong rambut.

Kami dapat melaksanakan tiga kali umrah, kali pertama berniat umrah di Miqat Bi'r Ali, umrah kedua bermiqat di Ja'ranah dan umrah ketiga bermiqat di Hudaibiyah.

Selain mengerjakan umrah kami juga telah di bawa ketempat-tempat bersejarah seperti Bukit Uhud, Jabal Thur, Jabal Rahmah, Hudaibiyah,Muzium Haraamain dan Thaif. Ustaz PU Faris telah memberikan taklimat tentang sejarah yang berlaku dan ikhtibar yg harus diambil pada setiap tempat yg dilawati.

Kami juga dibawa ke Padang Arafah, Muzfalifah dan Mina   khemah penginapan Jemaah haji.
Ustaz Muhammad Faris juga ada mengadakan tazkirah selepas solat maghrib menunggu Isyak. Ketika itu kelihatan ada jemaah yang menitiskan air mata menghayati isi kandungan ceramahnya.

Ustaz Muhamad Faris sentiasa menekankan perlunya kita sentiasa membaca Al- Quran. Beliau juga mengharapkan apabila pulang ke tanah air para jemaah dapat meneruskan ibadah seperti ketika berada di Madinah dan Mekah.

Sempena sambutan kelahiran sebahagian drp Jemaah, bacaan surah Al Mulk dan doa dibawah pimpinan Ustaz Muhammad Faris telah diadakan selepas solat Isyak. Manakala jamuan diakan di salah sebuah restoran berdekatan hotel penginapan.

Pada tahun 2001 semasa saya menunaikan haji bersama ibu dan adik beradik tiada sekeping gambar yg dirakam.

Pihak keselamatan Saudi membuat pemeriksaan ketat, beg sandang diperiksa rapi tidak boleh membawa kamera. Ketika itu kami belum ada hp.

Kini keadaan jauh berbeza . Beg sandang yang dibawa masuk tidak diperiksa. Hp boleh dibawa masuk di masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Gambar boleh dirakam di hadapan Kaabah.

Kami tidak menyangka apabila  mengerjakan umrah ini, keadaan di masjid Nabawi - di Raudhah dan ketika tawaf dan Saie keadaan terlalu sesak seperti apa yang berlaku ketika saya menunaikan haji 2001.
Jemaah drp seluruh pelusuk  termasuk kepulauan Indonesia amat ramai .

Tempoh menanti yang terlalu panjang @ lama untuk  mendapat tawaran menunaikan haji, rezeki yang sedikit lumayan dan semakin banyak agensi pelancongan yang bergiat aktif menarik jemaah
dengan pelbagai tawaran telah membuka hati Jemaah untuk mengerjakan umrah.

Keadaan di Masjidil Haram dan sekitarnya kini (Feb 2019) jauh berbeza berbanding ketika saya menunaikan haji pada 2001.
Masjidil Haram semakin bertambah tingkat. Ada tingkat yang memberikan laluan khas kepada Jemaah yg memerlukan skuter untuk melaksanakan tawaf dan Saie dengan bayaran 100 Rial untuk seorang Jemaah.

 Di luar Masjidil Haram banyak bangunan lama sudah tiada lagi. Hotel penginapan bertaraf lima bintang telah dibina di halaman di sekeliling Masjidil Haram dan ada yang yang pembinaannya  belum tamat. Di bahagian bawah hotel terdapat pusat membeli belah dan restoran.

Adanya hotel berdekatan (50 meter) drp masjidil Haram memudahkan jemaah  terutama yg telah berusia emas, yang sakit kaki,prostat dan seumpamanya berulang alik dari Masjidil Haram ke tempat penginapan .

Masih terdapat  peminta sedekah tetapi bilangannya tidak bagitu ramai berbanding tahun 2001. Di hadapan hotel ketika menunggu sahabat untuk sebarang pergerakan  dan ketika membeli makanan berdekatan hotel  terdapat peminta-peminta sedekah datang menghampiri. Peminta sedekah ini menolak pemberian makanan hanya berkehendakan wang.

Ketika menunggu waktu solat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, jemaah yang duduk bersebelahan atau yang baru mendekati ada yang menceritakan masaalah yang dihadapi kemudian meminta wang. Samada cerita yang disampai benar atau tidak, wallahuaklam.

Pada waktu hampir magrib hari isnin dan khamis akan dibentang plastik diletak buah kurma dan roti untuk berbuka puasa.Mereka yang tidak berpuasa juga turut menikmati hidangan tersebut.

Ketika di masjid Nabawi selepas solat Asar terdapat ramai guru Al Quran. Saya bersyukur  saya dan anak bujang  dapat membaca Surah Alfatihah dan guru Al Quran tersebut berbangsa Arab telah  menyemaknya.

Di Masjid Nabawi dan Masjidil Haran,Azan  dilaungkan sejam sebelum subuh dan apabila memasuki waktu subuh, para Jemaah  berpusu-pusu masuk lebih awal pada setiap waktu solat untuk solat-solat sunat dan membaca Al Quran.

 Selipar dibawa masuk,dimasukkan ke dalam uncang kasut dan diletak dirak-rak kasut yang bernombor.

Masjid Nabawi dan Masjidil Haram sentiasa penuh
dengan Jemaah hingga di halamannya untuk menunaikan solat pada setiap waktu.Solat jenazah  sentiasa ada selepasnya.

Suasana di Kaabah dan masjidil Haram sentiasa dipantau dan dirakam dan boleh diikuti melalui tv dibilik hotel.

Tiga orang anak-anak muda kami berumur  24- 30 tahun telah besepakat  bekerjasama bagi maksud untuk dapat mengucup Hajarul aswad. Mereka turun jam tiga pagi. Bagaimanapun usaha mereka amat mencabar. Anak saya yg berumur 26 tahun berbadan kecil mengatakan sebaik sahaja berjaya mengucup Hajarul Aswad, beliau telah terhimpit, kaki terangkat dari lantai dan sukar untuk bernafas. Beliau mengangkat tangan meminta bantuan dan amat bersyukur  dapat keluar daripada himpitan dan dapat bernafas kembali.

Selepas solat Subuh, zohor dan Isyak  para Jemaah dari segala pelusuk kepulauan Indonesia berpusu-pusu ke dewan makan dihotel. Jemaah Malaysia terhimpit dan ramai yg membeli makanan mengikut pilihan dan makan di bilik masing-masing.

Amat menghairankan kunci hotel sering tidak lagi aktif walaupun belum cukup tempohnya. Jemaah perlu segera mengaktifkan kunci terutama kepada warga emas dan  mengidap prostat dan perlu segera ke bilik air.

*Adalah dicadangkan:*

Pas yang diberi oleh Agensi
dan digantung dileher hendaklah benar-benar berfungsi. Pas tersebut bukan sekadar dicatatkan no Passport tetapi harus juga dicatatkan no Visa dan agen atau wakil yang berurusan dengan hotel penginapan. Pas tersebut seharusnya boleh memudahkan pemegangnya untuk mendapatkan sebarang khidmat dari pihak hotel dan kebenaran memasuki dewan makan, tidak sekali-kali berlaku kemasukannya dihalang seperti tidak membuat sebarang pembayaran.

Bagi kemudahan Jemaah berkeluarga yang memerlukan dua bilik, hendaklah memberikan bilik-bilik yang bersebelahan
di tingkat yang sama.

Setiap Jemaah perlu diberikan kunci bilik bagi bilik melebihi seorang.

Memandangkan sepanjang di Madinah dan Mekah Pasport di pegang oleh agen, dan ada jemaah yang  berurusan dengan perkhidmatan teksi, sewajarnya Pasport dan visa dapat diphotostat untuk dipegang oleh jemaah.

Ketika ziarah luar ketua rombongan  perlulah membawa bendera agar mudah  menjadi panduan Jemaah untuk berkumpul dan bergerak.

Ternyata membawa Jemaah untuk mengerjakan umrah adalah suatu perniagaan orang-orang Islam yang semakin kompetitif.

Justeru agensi yg mengurus jemaah harus dapat mempertingkan prestasi perkhidmatannya,
berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan mana-mana pihak yang akhirnya menjejaskan para Jemaah.

Umpamanya hotel penginapan yg dikatakan bertaraf lima bintang tidak memberikan facilities dan perkhidmatan seperti yg dijanjikan.

 Ketika Check-in di hotel penginapan di Madinah dan Mekah  semua jemaah perlu disediakan welcome drink dan tempoh menunggu untuk mendapatkan kunci bilik tidak terlalu  lama menunggu.

Agen pelacongan berkenaan wajar memberikan gantirugi untuk meredakan rasa ketidakpuasan hati para jemaah atas perkhidmatan yang mengecewakan, tidak seperti yang dijanjikan.

Kerajaan Arab Saudi yg beroleh
keuntungan, di sarankan menyediakan tandas yang lebih sempurna  di R & R dan di semua tempat bermiqat.

Sebelum meninggalkan kota Mekah, Jemaah   mengerjakan tawaf wida', mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan.

Semoga kita semua yang telah  mengerjakan umrah ,dan selamat kembali ke tanah air beroleh umrah yang maqbul.
InsyaAllah.

Penulis: Muhamad Jasman Jurami
 8/2/2019












Comments

Popular posts from this blog

29052018 : Jeruk Mangga Tanpa Cuka by Ety Jamilah

20092018: Budaya Menyumbang (salam kaut) ketika majlis perkahwinan

18032019 : Pertandingan gubahan tuala hantaran untuk Alumni STAR Klang