13032018 : INDAH PERDANA-KAMPONG ENDAH KINI DAN PENGHARAPAN



#togethertilljannah


13032018 : INDAH PERDANA-KAMPONG ENDAH KINI DAN PENGHARAPAN




Pentadbiran

Indah Perdana, Kampong Endah terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Langat, Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat, Parlimen Sepang.

Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Pentadbiran Kerajaan BN Selangor semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 8/3/2008. Namun YB Doktor Hj Karim bin Hj Mansur anak Kampong Endah yang menjadi calon UMNO-BN masih dapat mempertahankan DUN Tanjong Sepat.

Pada 5/5/2013, PRU ke13 Pakatan Rakyat dapat mempertahankan Selangor. YB Encik Mohd Haslin Bin Hassan calon PAS-Pakatan memenangi DUN Tanjong Sepat.  Ketika itu Dato Hj Karim Bin Hj Mansor anak Kampong Endah tidak bertanding. 

Perubahan Kerajaan di negeri Selangor termasuk DUN Tanjong Sepat telah mengubah landskap politik dan pentadbirannya. 

Selepas Kerajaan Negeri Selangor bertukar, telah wujud dua pentadbiran di Kampung-kampung termasuk di Kampong Endah;

Pertama:Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP)di bawah pentadbiran Kerajaan Pusat. Kedua : Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKN) di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Tuan Hj Ramlan Bin Hj Misnan yang telah sekian lama berpengalaman sebagai Setiausaha dan kemudiannya Pengerusi JKKK semasa pentadbiran BN di Selangor  dilantik  Pengerusi JKKKP semenjak 2008 hingga sekarang. Manakala Hj Mohd Sahid Bin Yunus telah dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebagai Ketua Kampung merangkap Pengerusi JKKKN.

Apabila Tuan Hj Sahid Bin Yunus tamat perkhidmataanya, En. Hamzah Bin Hj Bohari  telah dipilih dan dilantik Ketua Kampung merangkap Pengerusi JKKKN semenjak 1/2/2015 sehingga sekarang. 

Dalam usaha membantu pembangunan dan keselamatan, Penduduk  Indah Perdana   melantik  En Mohd Shahril Bin  Ibrahim sebagai Pengerusi Komuniti mulai 2004 sehingga 2016.

 Pada 23 /9/2016  Tuan Hj Shafei Bin Mohamad telah dipilih sebagai Pengerusi Komuniti Indah Perdana apabila En Mohd Shahril mengundur diri. Timbalannya masih En. Ibrahim Bin Abu Sari.

Semasa BN memerintah,  Pengerusi Komuniti Indah Perdana juga turut bersama dalam mesyuarat JKKK  Kampong Endah. Menurut Tn Hj Shafei beliau pernah dijemput oleh JKKKN dan  menghadiri mesyuarat semasa membincangkan pertandingan Kampung. Beliau telah dimasukkan dalam group Whatsap JKKKN namun sehingga kini tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri Mesyuarat JKKKN dan JKKKP. 

Indah Perdana-Pembangunan bertambah rancak

Kini Indah Perdana telah tersergam di persada Peta Malaysia. Indah Perdana  merupakan kejayaan suatu projek pembesaran Kampung yang telah dirancang  bemula pada pertengahan tahun 1985 dan usaha  berterusan dengan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak. Pecah tanah disempurnakan YAB Dr Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia pada 20 Januari 1996 dan rumah pertama sebuah banglo telah dapat dibina dan diduduki oleh keluarga Hj Anuar Bin Hj Misnan dan isterinya Hjh Wasiah Bt Hj Aris pada tahun 2000.

Walau bagaimanapun batu tanda pecah tanah yang disempurnakan Dr Mahathir tidak berada lagi di tempatnya semenjak 2008, difahamkan ianya dalam simpanan individu tertentu.

Pembangunan di Indah Perdana kini berterusan dan semakin bertambah rancak. Kemudahan  jalan kampung, perparitan dan saliran, bekalan air paip terawat dan letrik  telah dilaksanakan Kerajaan.

Pembinaan rumah-rumah banglo berbumbung genting semakin pesat. Kemudahan Prasarana dan utiliti ini  memudahkan  pembinaan rumah-rumah kediaman. Generasi kedua dan ketiga penduduk kampung samada  bekerja di dalam, di luar Kampung dan orang luar  yang berpeluang memperoleh lot tanah di Indah Perdana  perlukan rumah. 

Mengikut bancian oleh En Akmal bin Hj Mustakim pada 28/2/2018, terdapat 150 buah rumah siap dibina dan diduduki dan lapan buah masih dalam pembinaan.

Pembinaan rumah yang rancak sering menimbulkan rungutan penduduk. Lori besar enam tayar membawa pasir dan bahan binaan  dikatakan lebih muatan mengakibatkan kerosakan jalan dan lorong di Indah Perdana. Menurut En Hamzah, Ketua Kampung, JKKKN ada membuat permohonan membaik pulih Infstruktur tetapi jumlah permohonan yang diluluskan amat sedikit.


Pelan Susunatur Indah Perdana




Mengikut plan susus atur Indah Perdana, di samping  421 lot perumahan , terdapat lot-lot kedai, Tabika, surau, TNB, pondok Polis dan kawasan lapang untuk padang permainan.
Pada awalnya JKKK Projek pembesaran Kampung telah berusaha untuk menanam kelapa sawit di kawasan lapang dengan harapan hasilnya nanti boleh digunakan untuk kepentingan semua peserta projek. Bagaimana pun atas sebab-sebab tertentu matlamatnya  tidak kesampaian.

Walau bagaimanapun ucapan terima kasih wajar diberikan kerana kawasan lapang tersebut tidak menjadi hutan belantara. Sebaliknya ada penduduk  memajukan untuk projek pertanian dengan pelbagai jenis tanaman.  

Antaranya En Arbi@Ayob Bin Kusnin  telah menjalankan projek tanaman tembakau berskala besar dengan penggunaan jentera moden. Tahniah En  Arbi @ Ayob dan semua pihak yang telah mengusahakan  kawasan lapang tersebut.

Namun usaha berterusan harus dilakukan bagi memastikan kawasan  lapang tersebut berfungsi mengikut tujuan asal selaras  dengan plan susun atur yang diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Tapak padang permainan, Surau, Pondok polis, TNB, Tabika wajar dikekalkan untuk perlaksanaan projek-projek berkenaan mengikut plan susun atur Jabatan Perancang Bandar Dan Desa. Batu-batu sempadan yang telah hilang perlu dipasang semula dan memerlukan khidmat Juruukur berlesen. Papan-papan tanda perlu diletak di tapak-tapak berkenaan bagi menunjukkan tujuannya kegunaannya mengikut plan susun atur. 

Pengusaha projek pertanian perlu menyerahkan tanah tersebut tanpa sebarang tuntutan bayaran apabila projek sebenar akan dilaksanakan oleh Kerajaan  di tapak-tapak berkenaan.

Pengusaha pertanian juga wajar menyerahkan tapak padang permainan kepada JKKKN bagi pihak Kerajaan Negeri jika ada pihak tertentu ingin memajukannya   untuk kegunaan dan kepentingan penduduk Kampung seluruhnya.

Bagi pembinaan  pondok polis, walaupun ada sesetengah pihak berpendapat ianya bukan lagi menjadi keperluan , namun perancangan dan permohonan perlu juga dibuat selaras dengan plan susun atur projek mengambilkira kelulusan dan pelaksanaannya mengambil masa.

Pembinaan pondok polis merupakan  suatu keperluan terutama apabila Indah Perdana mempunyai pekan kecil setelah 9 lot kedai dapat dibina dan beroperasi sepenuhnya dan kawasan sekitarnya semakin membangun

Ke arah kecemerlangan sukan

Indah Perdana perlu memiliki padang permainan, padang bola, futsal, bola jaring dan tempat riadah untuk  remaja, pemuda pemudi dan warga emas penduduk Indah Perdana Kampong Endah. Adalah diharapkan akan lahir pasukan bola sepak dan  pemain-pemainnya yang cemerlang seperti suatu ketika dulu.

Pada tahun 60 an dan 70 an Kampong Endah mempunyai Pasukan Bola sepak dan pemainnya  handal dan disegani seperti arwah Hj Jarkasi Bin Hj Idris dll. Manakala Hj Ramlan Bin Hj Misnan Pengerusi JKKKP  sekarang adalah antara bekas pemain bola sepak bawah umur 12 tahun  telah mengharumkan nama Sekolah Keb Kampong Endah atas kejayaannya sebagai Johan seluruh Negeri Selangor pada tahun 1968.

Adalah diharapkan dengan adanya padang bola dan pelbagai kemudahan sukan yang sempurna, adanya  dorongan dan insentif daripada pihak-pihak tertentu, Kampong Endah  boleh memperoleh kembali kegemilangan  terutama dalam permainan bola sepak dan lain-lain sukan di peringkat Sekolah dan belia seterusnya mengharumkan nama Negara dan antarabangsa.

Homestay di Indah Perdana

Mengimbau kembali kertas kerja yang saya sediakan pada tahun 1987, Indah Perdana adalah merupakan projek pembesaran Kampung untuk rumah kediaman generasi kedua dan ketiga penduduk Kampung. Namun pada realitinya sekarang,  di samping 136 rumah kediaman  siap pembinaannya dan diduduki juga  wujud  14 buah Homestay di Indah Perdana. Ada  yang mempunyai beberapa lot tanah  telah dijadikan Homestay. 

Tahniah diucapkan atas kejayaan  pemilik Homestay di Indah Perdana. Kewujudan Homestay  tersebut telah menambah taraf sosio ekonomi penduduk juga boleh dianggap satu indikator kejayaan kampung masa kini.
Pastinya  lokasi Kampong Endah- Indah Perdana  berhampiran  pantai Morib tempat peranginan yang menarik dan  banyak kesan sejarah seperti tempat tentera India mendarat selepas Jepun menyerah kalah, Istana Jugra dll  menjadi tarikan  pelancong  membolehkan Homestay suatu keperluan di Indah Perdana. Apatah lagi kepada pengunjung  yang mengingini tempat tinggal dalam suasana kampung. Tambahan pula dengan adanya pengusaha  yang memiliki beberapa lot tanah di Indah Perdana yang telah dibangunkan sebagai homestay  dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang.

Saya masih teringat kata-kata Tn Hj Sairon bin Hj Abd Hamid, mantan ADUN Batu Laut agar para peserta projek tidak menjual hak milik mereka. Malah JKKK dan penasihat Projek pada ketika itu tidak  mengambil kesempatan untuk membeli dan menambah lot yang dimiliki walaupun ada  yang berkemampuan.

Hakikatnya proses  jual beli dan lot-lot tanah bertukarmilik telah berlaku  dari awal lagi atas perbagai faktor, antaranya; 
1)Pada peringkat awal sebelum hakmilik dikeluarkan, peserta tidak yakin atas kejayaannya dan ada yang  berperasangka.

2) Pemilik mengalami musibah seperti untuk kos pengajian dan perubatan anak

3) Pemilik berhijrah ke tempat lain dan tidak berhasrat untuk membina rumah di Indah Perdana.

4) Pemilik mengalami kegagalan dalam perniagaan, mengelak tanah tergadai di Bank.

5)Pemilik perlukan wang tunai sebagai keuntungan segera dalam jangka pendek.

Pertukaran hak milik tersebut menjadi faktor pemangkin kewujudan banyak Homestay di Indah Perdana  sebagai suatu penyimpangan daripada matlamat dan tujuan asal projek pembesaran Kampong Endah, namun ianya kini suatu realiti dan keperluan semasa. 

Koperasi Endah Berhad (KEB)

Koperasi Endah Berhad (KEB)  ditubuhkan pada 28/12 /2004 , Bil. Daftar B-4-0385 dan En Abdul Rajak Bin Hj Jemain sebagai Pengerusi. Keanggotaan KEB terdiri daripada peserta projek pembesaran Kampong Endah yang kini dikenali Indah Perdana. Tahniah atas penubuhannya.

Jumlah bayaran yang ditetapkan kepada peserta projek sebanyak RM5,000 bagi setiap lot. Berikutan Kerajaan Negeri meluluskan permohonan pengurangan kadar tuntutan premium tanah daripada RM1Skp kepada 60sen skp menjadikan jumlah tuntutan premium tanah bagi lot tengah kurang daripada RM5000 dan lebihan bayaran yang dikenakan kepada peserta projek telah dijadikan sebagai modal saham dalam KEB. Walaubagaimana pun sehingga 2016 KEB tidak aktif dan hampir terkubur.

Pada 19/12/2016 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KEB kali ketiga diadakan. Saya diberi mandat mempengerusikan mesyuarat tersebut. Tuan Haji Muhamad Roslan Bin Mispan, mantan Timbalan Pengerusi telah menjelaskan KEB masih belum mempunyai projek yang berhasil oleh kerana perlaksanaannya tidak dapat berjalan dengan lancar dan anggota ALK sibuk dengan tugas tidak dapat memberikan komitmen sewajarnya. Beliau juga telah menjelaskan mengikut penyata kewangan KEB berakhir  30 November 2016, KEB mempunyai wang tersimpan sebanyak RM103,415.46. Mesyuarat  bersetuju mengaktifkan kembali KEB dan membuat perlantikan semula Ahli-ahli Lembaga Pengarah/ALK. 

Kini KEB di pengerusikan En Maryus Mardi. Antara barisan ALK KEB ialah Tuan Hj Ramlan Bin Hj Misnan, Pengerusi JKKP dan En Hamzah Bin Hj Bohari, Ketua Kampung @ Pengerusi JKKN; diharap akan memudahkan lagi pembangunan dan kejayaan KEB khususnya dan Pembangunan dan Keselamatan Kampung umumnya.

Bisness utama KEB sekarang adalah dalam bidang catering; satu bidang yg telah lama diceburi oleh Maryus pengerusi KEB.
Saya kerap menarik perhatian bahawa  antara faktor untuk KEB memperoleh kejayaan ialah dengan adanya Pengerusi, barisan ALK dan pekerja yang  komited, berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti-jujur tiada penyelewengan.

Sebarang projek dan aktiviti perniagaanya perlu mempunyai unjuran kos perbelanjaan dan pendapatan mengambil kira kesemua pelanggan dan kawasan operasinya. Perniagaan  boleh berdaya maju apabila dalam jangka pendek hasil pengeluaran mempunyai keuntungan bersih yang  sekurang-kurangnnya boleh menampung kos berubah yang terdiri dari para pekerja dan bahan mentah. Hasil keuntungannya  boleh meningkat pada masa-masa seterusnya hingga akhirnya boleh menampung kos tetap bagi projek tersebut.

Sebarang perwujudan perjawatan pegawai/ kakitangan KEB perlu terlebih dahulu mengambil kira carta fungsi core bisnes KEB dan senarai tugas-tugas yang diperlukan. Pengisian perjawatan pegawai / kakitangan KEB daripada calon yang berkelayakan adalah dalam usaha ke arah menjana pendapatan KEB, bukan menambah tanggungan dan bebanan perbelanjaan KEB.

KRT dan SRS memainkan peranan

Kerajaan telah menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pada tahun 1975 mengikut akta 751 untuk membolehkan penduduk berumur18 hingga 55 tahun mengawal kawasan kediaman.

KRT di bawah Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) berfungsi dalam perlaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan; mempunyai Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berperanan menjaga kawasan kejiranan.

Tahniah Encik Azlan Bin Basri @ Andong atas perlantikan sebagai Pengerusi KRT dan En Mat Said bin Sahri sebagai ketua SRS Kampung Endah dalam AGM kali ketiga pada 9/2/2018. Adalah diharapkan KRT  dan SRS  dengan kerjasama semua pihak dapat berfungsi sewajarnya dan membolehkan Indah Perdana, Kampong Endah sebagai tempat tinggal yang selesa dan selamat.

Kedai diperlukan usahawan muda

Ada hadis mengatakan 90% rezeki datangnya daripada perniagaan. Hadis ini memberikan banyak motivasi kepada kita semua untuk melibatkan dalam perniagaan. 

Di Kampong Endah- Indah Perdana kini  ramai yg berniaga dan menjadi usahawan, mengeluarkan pelbagai produk terutamanya  makanan. 
Ada yang hampir setiap hari mengiklankan masakannya dalam group Whatsap Indah Perdana walaupun menu yang sama. Ada yang membuka gerai/warung di tepi jalan dan ada yang beroperasi di rumah.

Mengikut plan susun atur terdapat sembilan lot kedai disediakan di Indah Perdana. Setakat ini  baru empat lot kedai yang telah dibina dan kesemuanya telah disewakan kepada peniaga termasuk untuk kegunaan Koperasi Endah Berhad(KEB).
Namun ada orang mengatakan ada kedai yang tidak jelas beroperasi kerana hanya digunakan sebagai setor penyimpan semata-mata.

Di pintu  masuk utama Kg Endah, terdapat empat buah kedai dan beroperasi. Sebuah kedai yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan utama untuk memperoleh   hasil pertanian, pelbagai sayuran dan ikan segar kini telah ditinggalkan dan dalam keadaan usang. Kedai-kedai ini  telah dibina atas tanah rizab jalan dan sungai. 
Kedudukannya terlalu hampir di persimpangan Jalan masuk utama, ada pandangan  pihak tertentu kedudukanya kurang sesuai . 
Walau bagaimanapun adalah tidak wajar untuk menghalang perniagaanya apatah lagi jika terdapat cadangan merobohkan premisnya kecuali mereka memperoleh tempat perniagaan yang lebih baik dan sesuai.

Adalah dicadangkan agar Ketua Kampung dapat membuat  permohonan, tindakan susulan  dan berunding dengan Wakil Rakyat, Pegawai di Pejabat Daerah dan Majlis Daerah akan kepeluan segera membina lima buah kedai atas tapak yang telah disediakan dan masih ada di Indah Perdana.
Pembinaan lima buah kedai sebagai tambahan kepada empat buah yg telah ada amat diperlukan untuk ditawarkan sebagai tempat perniagaan baru kepada peniaga yang sekarang beroperasi di kedai di persimpangan jalan masuk sekiranya terpaksa dirobohkan , peniaga dan usahawan muda Kampung Endah yang semakin bertambah dari masa ke semasa.

Apabila kesemua sembilan buah kedai dapat beroperasi sepenuhnya  sehingga malam, Indah Perdana akan nampak mempunyai pekan kecil yang meriah dan menguntungkan.

Kebesihan dan Kutipan Sampah

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah meletakkan tong-tong sampah bersaiz besar di beberapa tempat di tepi jalan di Kampong Endah- Indah Perdana untuk memudahkan penduduk membuang sampah domestik/dapur.
Penduduk dapat memanafaatkannya dengan membawa sampah domestik dari rumah  dalam bungkusan plastik untuk  dimasukkan dalam tong yang disediakan. Tong sampah tersebut akan berfungsi  sebaiknya apabila  sampah di buang ke dalam tong dan tong ditutup semula. Sampah tidak dicampak di tepi atau di atas tong. Sampah  dipungut mengikut jadual tidak sehingga melimpah keluar daripada tong   dan menjadi tumpuan anjing-anjing liar. Tempat pengumpulan sampah  bukanlah tempat ulat dan lalat membiak  hingga menimbulkan pencemaran alam, pemandangan  dan bau tidak enak. Sebaliknya ia adalah tempat sampah dikumpul dalam tempoh 2/3 hari dan memudahkan pungutan sampah.  Setelah sampah dipungut Pekerja  MDKL harus meletak kembali tong dalam keadaan baik.

Pada masa yang sama, tahniah dan jutaan terima kasih harus diberi kepada  Tuan Hj Bihar Bin Hj Salleh atas daya usaha dan  inisiatif meneruskan  pengurusan kutipan sampah oleh pihak Swasta dari rumah di Indah Perdana pada tahun 2018 dengan bayaran RM30 sebulan.

Terima kasih juga kepada  penduduk Indah Perdana yg memberikan komitmen persetujuan ikut menyertainya. Ini adalah  petanda adanya  kerjasama antara kita untuk memastikan kebersihan Indah Perdana. Justeru penyertaan lebih ramai penduduk Indah Perdana adalah amat dialu-alukankan.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Kita semua mengharapkan urusan kutipan sampah dari rumah oleh pihak swasta sebagai alternatif kutipan sampah oleh MDKL dapat dilaksanakan lebih lancar dan memudahkan pesertanya.

Whatsap Group saluran bersilaturahim

Tahniah kepada En Akmal Bin Hj Mustakim selaku admin atas kejayaan mengwujud dan membuat pemantauan ke atas group Whatsap Kampung Endah dan Indah Perdana. Group whatsap ini apabila dipergunakan sebaiknya akan menjalin dan memperkukuhkan ukhwah dan silaturrahim, saluran maklumat, berdakwah, tazkirah, mempromosikan produk dan sebagai ruang  penulisan ini  untuk faedah dan  kepentingan bersama.

Indah Perdana-Cadangan dan  Pengharapan


Pertama:
Batu tanda pecah tanah perasmian projek pembesaran Kampong Endah yg kini dikenali Indah Perdana yang telah disempurnakan  YAB Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia pada 20/1/1996 perlu diletak kembali dan dibina sewajarnya pada tempatnya  sebagai bahan sejarah kemudian hari.

Kedua:
JKKKP dan JKKKN perlu mengambil  tindakan susulan berterusan atas permohonan kepada Kerajaan Persekutuan-KKKLW/Negeri- Wakil Rakyat, Pejabat Daerah agar tapak-tapak yang disediakan bagi tujuan awam termasuk  padang permainan, Tabika, surau, TNB, pondok polis dapat dibina mengikut pelan susun atur projek yg diluluskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Pengusaha pertanian dikehendaki menyerahkan  tapak berkenaan apabila projek akan dilaksanakan tanpa sebarang tuntutan pembayaran.Tidak ada sebarang usaha untuk menghakmilikan tapak tersebut.

Ketiga:
JKKKP hendaklah membuat permohonan berterusan kepada Kerajaan Persekutuan/KKLW, manakala JKKKN meneruskan permohonan dan tindakan susulan kepada Kerajaan Negeri/Wakil Rakyat -Pejabat Daerah bagi kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan infrstruktur khususnya Jalan-jalan Kampung, perparitan dan saliran.

Keempat:
Koperasi Endah Berhad(KEB)  yang lahir hasil daripada sebahagian wang terkumpul peserta projek Pembesaran Kampung -Indah Perdana diharap dapat melaksanakan projek berdaya maju, bijak menganalisa risiko, berfungsi untuk menjana ekonomi para pesertanya di samping antara saluran untuk bersilaturrahim.

Kelima:
Kontraktor yang membina rumah kediaman di Indah Perdana dikehendaki memberikan sumbangan untuk membaikpulih jalan-jalan yg rosak akibat lori yang membawa bahan binaan lebih muatan.

Keenam:
Ketua Kampung @ Pengerusi JKKKN dimohon meneruskan usaha permohonan dan berunding dengan wakil Rakyat, Pegawai Pejabat Daerah dan Majlis Daerah supaya dapat membina lima buah  Kedai sebagai tambahan atas tapak yang disediakan di Indah Perdana. Kesemua kedai tersebut hendaklah berfungsi sewajarnya sebagai premis perniagaan; memberi ruang dan peluang  menyewakannya kepada peniaga dan usahawan Bumiputara kampung.

Ketujuh:
Pengerusi Komuniti Indah  Perdana wajar dijemput secara rasmi untuk menghadiri mesyuarat JKKKP dan JKKKN supaya dapat bersama membincangkan hal khususnya berkaitan pembangunan dan keselamatan. Sekiranya Pengerusi tidak dapat menghadiri atas sebab-sebab tertentu, kehadirannya boleh diwakilkan oleh Timbalannya.

Kelapan:
KRT dan SRS berperanan penting dalam usaha ke arah Indah Perdana- Kampong Endah sebagai tempat tinggal yang selesa dan selamat dengan kerjasama semua pihak.

Kesembilan:
Pemantauan oleh JKKKN dan kerjasama penduduk diperlukan dalam menggunakan Tong sampah yang disediakan MDKL agar berfungsi sebaik mungkin. Sampah dapat dipungut mengikut jadual; tidak menjadi  pembiakan lalat dan mencemarkan alam.

Kesepuluh:
Usaha-usaha berterusan perlu dibuat bagi memboleh dan memperkukuhkan lagi pembangunan insan khususnya dalam kalangan remaja melalui  pelbagai aktiviti kerohanian, sukan dan riadah. Sebarang teguran untuk memperbaiki akhlak, nilai dan etika penduduk khususnya dalam kalangan remaja termasuk oleh JKKK Masjid perlu dibuat secara bijak dan berhemah.

Kesebelas:
Pengusaha homestay yang berjaya dicadangkan memberikan sumbangan untuk membina tempat riadah di kawasan lapang yang dikenalpasti oleh JKKKN  untuk  kegunaan penduduk kampung seluruhnya.

Keduabelas:
Perbezaan fahaman politik tidak wajar menjadi penghalang dalam usaha ke arah pembangunan dan keselamatan kampung. Kini pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin hampir. Rakyat semakin bijak dan bebas dalam membuat penilaian  calon dan parti mana yang  menjadi pilihan. Persiapan PRU14 dan sebarang keputusannya  nanti,  wajar diterima  secara berlapang dada, tidak mencetuskan perpecahan yang  berterusan.
Ibarat air dicincang tidak akan putus.

Semoga Indah Perdana, Kampong Endah  menjadi tempat tinggal yang  Selesa, Selamat, Maju, Menarik dan Menguntungkan

GUYUP SEKAMPUNG SELAWASE


 Penulis: Haji Muhamad Jasman bin Haji Jurami @MJJ
13/3/2018

Comments

Popular posts from this blog

29052018 : Jeruk Mangga Tanpa Cuka by Ety Jamilah

01012019 : Taman SPPK Segambut kini DutaMas Seroja

20092018: Budaya Menyumbang (salam kaut) ketika majlis perkahwinan