26012018: Kampung Endah dahulu mundur, kini maju menarik dan menguntungkan
26012018: Kampung Endah dahulu mundur, kini maju menarik dan menguntungkan
#togethertilljannah |
Sejarah kewujudan Kampung Endah
Kampung Endah wujud hasil daripada rancangan
Briggs dalam mengatasi ancaman Pengganas Komunis semasa darurat 1948-1960
dengan memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan berselerak ke
kawasan penempatan baru yang tersusun dan terkawal. Generasi pertama merupakan
penduduk yg dipindahkan dari kampung Ladang Batu, Ladang Lor dan Kampung Delek
berjumlah 100 keluarga ke perkampungan tersusun dengan keluasan tanah setengah
ekar satu lot untuk satu keluarga sekitar tahun 1952. Nama Kampung diambil sempena perpindahan tersebut, Kampung
Pindah yang kemudiannya disebut Kampung Endah .
Generasi pertama kebanyakannya berketurunan
dari Kebumen, Jawa Tengah telah berhijrah ke Tanah Melayu sebelum kedatangan
Jepun 1941. Mereka kebanyakannya berkahwin dalam kalangan saudaramara, seketurunan
sesama sekampung atau dari kampung-kampung yg berhampiran.
Pemimpin kampung yg awal telah dibunuh
kejam oleh pengganas Komunis, sehingga sekarang tidak diketahui kuburnya;
1) Tuan
Hj Sirat bin Hj Mustafa- Ketua Kampung
2) Ali
bin Hj Idris, Setiausaha
3) Mahfuz
bin Hj Mustafa, AJK
Jawatan ketua kampung diambil alih oleh Dato
Sono.
Diselubungi rantaian ganas kemiskinan
Sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31/8/1957
dan pada tahun-tahun 60an, Kampung Endah merupakan perkampungan yang diselubungi
rantaian ganas kemiskinan, mundur,
tidak mempunyai kemudahan prasarana dan kemudahan asas yg lengkap dan ramai penduduknya buta huruf.
Lebih 90 peratus penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan purata kurang RM100 sebulan. Pekerjaan utama mengambil upah menoreh getah di kebun milik kaum
China, memetik kopi, kelapa, bercucuk tanam dan ada yang membuat kuih. Semasa
tidak boleh menoreh kerana hujan sebahagian penduduk mencari kepah yang banyak terdapat di pantai
Kachong Laut sebagai lauk utama.
Rumah-rumah kayu yg dibina dan didiami
kebanyakannya tiada kemudahan bilik dan
tandas yg sempurna. Bekalan letrik belum diterima manakala bekalan air paip hanya
ada di beberapa tempat di tepi jalan, tiada saluran paip air ke rumah.
Penduduk mandi dalam kolam tanah yg dikorek di tepi rumah dengan keluasan kira-kira 12 kaki persegi dan kedalaman 10 kaki. Airnya terasa masam dan kelat. Semasa musim hujan kolam dipenuhi air yang agak jernih, manakala semasa kemarau airnya menjadi cetek dan kotor. Di Kolam mandi inilah berlaku trajedi beberapa keluarga kehilangan anak kerana mati lemas. Paip air yg disediakan kerajaan di tepi jalan, lebih untuk sumber masakan dan minuman di samping membasuh pakaian.
Penduduk mandi dalam kolam tanah yg dikorek di tepi rumah dengan keluasan kira-kira 12 kaki persegi dan kedalaman 10 kaki. Airnya terasa masam dan kelat. Semasa musim hujan kolam dipenuhi air yang agak jernih, manakala semasa kemarau airnya menjadi cetek dan kotor. Di Kolam mandi inilah berlaku trajedi beberapa keluarga kehilangan anak kerana mati lemas. Paip air yg disediakan kerajaan di tepi jalan, lebih untuk sumber masakan dan minuman di samping membasuh pakaian.
salah satu telaga untuk kegunaan harian zaman dahulu |
Kini: Kolam air panas di Negeri Sembilan diguna untuk teraphy |
Pada sebelah malam beberapa pelita digunakan
untuk menyinari kegelapan. Penduduk
tidur awal kerana tiada hiburan hingga menyumbang ramai pasangan memiliki anak
yang ramai seperti pandangan ahli-ahli Sosiologi.
Jalan kampung merupakan jalan tanah hitam yang
sering lecak semasa hujan. Pada penghujung 60an jalan kampung baru ditambak
tanah merah. Penduduk menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama , itu pun
tidak kesemua berkemampuan membeli walaupun amat diperlukan untuk anak-anak ke
sekolah.
Pada masa itu hanya tiga orang yg telah
memiliki kereta yang digunakan sebagai teksi iaitu;
Arwah Hj Kusnin,
arwah Hj Bawon, dan
arwah Hj Aris.
Arwah Hj Kusnin,
arwah Hj Bawon, dan
arwah Hj Aris.
Ada dua kedai runcit di kampung yang dimiliki
arwah Hj Kusnin dan arwah Hj Aris. Hj
Kusnin juga sebagai pembeli hasil pertanian penduduk kampung dan
memperoses kopi. Di kedai runcit
tersebut juga saya menghantar keropok bulat berwarna merah (kini dikenali
dengan nama keropok Palembang) buatan ayah saya, arwah Hj Jurami bin Abu Omar. Ayah
mengedarkan keropok dengan basikal tua
ke kedai-kedai di Morib, Tongkah, Kanchong Darat dan Sungai Lang.
keropok palembang yang penuh kenangan. |
Wayang Gambar Padang
Dari segi pentadbiran, kerajaan menyalurkan
maklumat melalui Jabatan Penerangan dengan
mengadakan tayangan gambar di padang bola beberapa bulan sekali. Pada masa itu juga terdapat beberapa orang anak-anak muda teruna dan dara bertegursapa.
Kelas Dewasa
Terdapat kelas Dewasa untuk
para ibu yg dikendalikan arwah Akib Hj Abdul Kadir.
Situasi Kelas Dewasa adalah seperti yang dilakonkan oleh
biduanita Saloma dalam watak Cikgu Murni
melalui filem Nasib di Labu Labi arahan P.Ramlee pada tahun 1963.
Dari segi pembelajaran anak-anak, terdapat
Sekolah Rendah di Kampung Endah dari darjah 1 hingga darjah 3. Manakala darjah
4 - 6 di Sek Kebangsaan Morib.
Murid-murid dikehendaki datang awal pagi untuk melaksanakan kerja mengutip
sampah dan membersihkan kelas sebelum waktu persekolahan. Terdapat seorang anak kampung yang turut mengajar iaitu Cikgu Sairon Hj Abdul Hamid yang kemudiaanya menjadi ADUN Batu Laut.
Pada sebelah petang anak-anak mengaji di
Sekolah Agama di masjid (masjid lama yg telah dirobohkan). Kaedah pembelajaran
lebih banyak secara menghafal. Pelajar dikehendaki menghafal secara bergilir di
hadapan Utaz /Ustazah yg memegang rotan. Antaranya ialah surah2 lazim dalam juzuk 30 AlQuran dan Rukun Islam dan Rukun Islam. Antara guru yg mengajar ialah, seorang anak kampung, Ustazah
Naimah. Kaedah hafalan ini amat berkesan hingga kini masih digunakan seperti
juga kaedah menghafal sifir dalam mata pelajaran matematik (dulu dinamakan Ilmu
Hisab, kemudian Kira-Kira)
Selepas magrib kecuali pada malam Jumaat, ada
kelas mengaji Al Quran di rumah arwah Imam Hj Taib. Imam Hj Taib dan isterinya
mengajar anak-anak kampung membaca Al
Ouran tanpa bayaran, hanya sekadar
bayaran tabung minyak pelita 10 sen sebulan.
Meneruskan pelajaran dengan penuh dan pelbagai cabaran
Saya yg berbadan kecil dan baharu pandai
berbasikal namun bersemangat besar
meneruskan pelajaran dengan berbasikal ke Sek Keb Morib. Pernah
terjatuh dalam parit di pintu keluar Sek Morib ketika menaiki
basikal dari kawasan Sekolah. Selepas peristiwa itu
pihak Sekolah telah menetapkan agar pelajar hanya dibenarkan menaiki basikalnya
selepas keluar daripada pintu pagar.
Pengalaman
membimbangkan ketika bersekolah
di Morib apabila suatu ketika tentera Indonesia dikatakan akan mendarat
hingga para pelajar dikehendaki berbaris dan membongkok keluar daripada
bangunan melalui celah-celah rimbunan pokok di tepi parit belakang bangunan.
Banyak kereta kebal Tentera Darat sering melalui hadapan sekolah hingga mengganggu tumpuan pelajar. Ketika itu Sukarno, Presiden Indonesia telah mengistiharkan konfrantasi Ganyang Malaysia kerana menentang penubuhan Malaysia 16/9/1963 hasil Laporan Suruhanjaya Cobbold.
Banyak kereta kebal Tentera Darat sering melalui hadapan sekolah hingga mengganggu tumpuan pelajar. Ketika itu Sukarno, Presiden Indonesia telah mengistiharkan konfrantasi Ganyang Malaysia kerana menentang penubuhan Malaysia 16/9/1963 hasil Laporan Suruhanjaya Cobbold.
Bagi membantu menambah pendapatan keluarga
yang mempunyai ramai adik beradik, saya turut membawa kuih apam gulung untuk
dijual ke sekolah. Di Sek Morib juga saya pernah dimarahi dan diberi amaran oleh tauke kantin
apabila mendapat tahu saya membawa kuih apam gulung buatan ibu saya
arwah Hjh Rukijah Bt Hj Bahrun untuk
dijual kepada kawan-kawan dalam kelas. Namun apabila pulang ke rumah saya
tidak memaklumkan dilema yang dialami.
Selepas darjah enam hanya sebahagian kecil
murid melanjutkan pelajaran ke Sekolah
Menengah di Telok Datok dan sebahagian lagi melanjutkan ke Sek Agama di
Kanchong Darat.
Pendidikan Menengah
Saya dan kawan-kawan yang melanjutkan
pelajaran ke Sekolah Menengah di Telok Datok
menghadapi pelbagai cabaran.
Antaranya mengayuh basikal pada jam 6 pagi ke sekolah merentasi ladang
kelapa sawit dan ke jalan raya ( sekarang Jalan Sultan Salehudin) di Simpang Bengkok Kanchong Darat seterusnya
melalui pekan Banting dengan jarak satu perjalanan lebih daripada 20 kilometer.
Jika tidak ada aktiviti petang di sekolah, sampai ke rumah jam 3.30 petang. Kerap
berbekal jagung, ubi dan keladi rebus dan minum air paip di tepi jalan.
Pengalaman Pahit Getir Pemankin Cita-cita
Gara-gara menaiki sebuah basikal dua orang, saya
bersama abang Hj Md Jasimin pernah ditahan polis di hadapan Balai Polis Telok Datok (kini dijadikan Pusat Giat Mara T.Datok) dan
dikurung dalam bilik tahanan lebih tiga jam. Namun semangat saya tidak luntur
dan terus membara meneruskan cita2. Sebagai idola ketika itu ialah Dato Hj Mat Yasin Juli@ Hj Abdul Kadir
anak pertama Kg Endah yg telah memperoleh Ijazah daripada Universiti Malaya
1969 dan berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomati(PTD)di pelbagai
Kementerian.
Kini merasa berbasikal seorang sebagai hobi - di Presint 3 Putrajaya |
isteri bersama jiranita berbasikal di Putrajaya |
DEB Membasmi Kemiskinan
Pada tahun 1970, berikutan peristiwa 13 Mei
69 Tun Abdul Razak Hussin, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah
melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat Serampang
Dua Mata; Membasmi Kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Antara
kaedah membasmi kemiskinan adalah melalui pendidikan. Kemudahan pendidikan
dengan menempatkan pelajar di Sekolah Berasrama Penuh dan pemberian biasiswa.
Anak-anak Kg. Endah terawal terpilih dan
berpeluang ke Sekolah berasrama penuh selepas peperiksaan Sijil Rendah
pelajaran (SRP) dan meneruskan pelajaran
hingga ke Universiti/Maktab ialah:
1) Hamsi
Hj Mispan( lahir 1952), Sek Alam Shah- Maktab Tentera, Mejar (R)
2) Dr
Hj Hashami Hj Bohari (lahir 1954), Sek Alam Shah, UKM, -pensyarah.
3) Prof
Dr Hj Abd Aziz Hj Jemain (lahir 1955), Sek Alam Shah. UKM, Pensyarah Metamatik
di UKM.
4) Hj
Muhamad Jasman Hj Jurami (lahir 1955),Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra,
Unversiti Malaya.-Mantan Pegawai Tadbir
dan Diplomatik(PTD)
5) Hj
Mohd Roslan Hj Mispan (lahir 1956), Sek Sultan Abdul Halim, Universiti di UK, -
Jurutera.
6) Dato
Dr Hj Karim Hj Mansor (lahir 1958), Sek.Sultan Abdul Halim- UKM, Doktor dan
Mantan ADUN Tanjung Sepat.
Guru Sementara
Sebelum melanjutkan pelajaran ke UM Jun 1976,
saya berkesempatan berkhidmat sebagai
guru Sementara di SMK Telok Datok selama setahun dengan kelayakan Sijil Tinggi
Pelajaran STP. Saya
dapat mengumpul sedikit wang simpanan dan membeli sebuah Honda 70 cc bagi BAQ8802 bagi memudahkan pergerakan saya ketika di Univesiti. Ramai sahabat semasa di UM berumur jauh lebih senior, bekas guru termasuklah Tan Seri Muhammad Muhamat Taib, mantan MB Selangor. Kini, tidak hairanlah jika ada bekas murid yang memanggil saya Cikgu.
2018, Kg. Endah terus maju dan cemerlang
Alhamdulillah kini Kg. Endah terus maju dan
cemerlang. Semakin ramai anak-anak kampung generasi kedua dan ketiga berjaya ke
menara gading, memperoleh ijazah dalam
dan luar negara dan berkhimat dalam pelbagai jawatan termasuk Imam Muda di kampung. Ternyata kini anak-anak muda
mempunyai lebih ilmu pengetahuan, berjaya merubah sosio ekonomi, tidak mewarisi kemiskinan
keluarganya.
Hakikatnya mereka yang tidak ke menara gading juga boleh setanding dan
berjaya dalam pelbagai bidang, sebagai usahawan, peniaga, penternak dan
sebagainya.
(GAMBAR MJJ KONVO)
Johan Kampung Terindah Malaysia
Bersyukur
Kampung Endah kini telah menikmati pelbagai pembangunan, mempunyai kemudahan prasana yang lengkap,
pernah memperoleh kemenangan Kampung terbaik di peringkat negeri dan
Kebangsaan. Wujudnya Indah Perdana sebagai pembesaran Kampung Endah membolehkan
Generasi kedua dan ketiga kampung membina rumah-rumah banglo yang indah lagi
selesa. Perkahwinan tidak lagi sesama sendiri tetapi telah merentasi pelbagai
keturunan dan negeri.
Johan Kampung Terindah Negeri Selangor 1992. Johan Kampung Terindah Malaysia |
Jalinan Kerjasama
Setiap keluarga kini mampu memiliki motor dan
kereta, malah beberapa jenis kenderaan laut dan segala kelengkapan, jauh
berbeza berbanding pada tahun-tahun 1960an.
Sungguhpun terdapat dua entiti kepimpinan
iaitu JKKK dipimpin saudara Hamzah Hj Bohari dan JKKKP dipimpin saudara Ramlan Hj Misnan, mereka
masih boleh bekerjasama dalam usahasama menjayakan pelaksanaan projek
mahupun aktiviti dengan pelbagai
pertubuhan, Persatuan Peladang, Persatuan Belia, PIBG, JKKK Masjid, KRT,
Koperasi dan warga prihatin dalam menggembeling tenaga untuk pembangunan
kampung dan kebaikan penduduknya .
Kepimpinan Ketua Kampung
Tahniah. Jutaan terima kasih dan
setinggi penghargaan atas pengorbanan dan kepimpinan khususnya Dato Ketua
kampung dari dahulu sehingga sekarang;
1) Arwah
Hj Sirat bin Mustafa
2) Arwah
Dato Sono
3) Arwah
Tuan Hj Mansor Bin Hj Idris
4) Arwah
Tuan Hj Mustapin Bin Hj Aris
5) Tuan
Hj Mohd Sahid Bin Yunus
6) Tuan
Hj Ramlan bin Hj Misnan
Pembangunan kampung harus dilihat dari segala aspek. Prasarana, sosioekonomi , kebersihan, pendidikan,
keselamatan,kebajikan dan pembangunan insan secara keseluruhan tanpa
mengambilkira fahaman politik yang mungkin berbeza.
Semoga Kg. Endah dan Indah Perdana sebagai tempat tinggal yang bersih, selamat,
maju, menarik dan menguntungkan menjadi kenyataan, InsyaAllah.
Catatan. Semasa menuntut di tahun kedua di UM, 1977
penulis telah membuat penyelidikan
tentang 'Gaya hidup Kelas Bawahan Melayu.” dan turut menyumbang fakta dalam penulisan ini.
Penulis;
Hj Muhamad Jasman Bin Hj Jurami @ MJJ
26.1.2018
Ada rumah kosong untuk orang bujang rumah teres
ReplyDelete.kalau ada yang nak pindah ke sana kg endah
Salam Tuan, saya merupakan penyelidik untuk mengkaji masyarakat Jawa di Kampung Endah. Benarkah kampung ini diduduki mahupun dibuka penempatan oleh masyarakat Jawa?
ReplyDelete