05022018: INDAH PERDANA,KG ENDAH: PERANCANGAN DAN REALITI




#togethertilljannah
INDAH PERDANA,KG ENDAH: PERANCANGAN DAN REALITI

JKKK Endah yang berwawasan

Pada  tahun-tahun 1980an  JKKK Kg. Endah dibawah pimpinan Tuan Hj Mansur Bin Hj Idris dan Setiausahanya, Tuan Hj Ramlan Bin Hj Misnan amat berwawasan dan berinovasi dalam perlaksanaan pelbagai projek untuk pembangunan kampung dan faedah penduduknya. Kg. Endah ketika itu telah mempunyai segala kemudahan asas, terkenal di seluruh negara kerana telah merangkul pelbagai kemenangan, sebagai kampung terbaik dan Belia terbaik.



JKKK Kampung bersama MB Selanogr

Walau bagaimanapun, Kg. Endah amat perlu diperluaskan kerana tanah seluas setengah ekar untuk satu keluarga tidak mampu menampung/memenuhi limpahan pertambahan penduduknya.

YB Tuan Hj Sairon Bin Hj Abdul Hamid, anak Kg. Endah,  ADUN Batu Laut semasa itu, merupakan penasihat dan penggerak utama JKKK Kg Endah. YB Tuan Hj Sairon yang juga anak kampung  pertama  berkhidmat sebagai guru, mantan Pengerusi Belia 4B Cawangan Kg. Endah dan AJK Belia 4 B Malaysia.

Atas nasihat YB Tuan Hj Sairon, JKKK Kg. Endah telah melaksanakan projek besar mengumpulkan peserta di kalangan penduduk kampung bagi mendapatkan dana untuk membeli tanah milik estet yang terletak  bersebelahan kampung. Peserta projek terdiri terutama daripada generasi kedua penduduk kampung yang bekerja dan tinggal di kampung dan di luar kampung. Peserta   dikehendaki membuat pembayaran secara beransur  RM50 sebulan. 

Antara ahli JKKK yang turut menggerakkan projek diperingkat awal;
- ArwahTuan Hj Kusnin Bin Ishak
- Arwah Tuan Hj Mispan  Bin Zainal
- En Osman Bin Satimin.

Isu besar yang dihadapi untuk merialisasikan projek besar tersebut  ialah persetujuan pemilik tanah supaya bersetuju menjual tanah.

Pencetus Idea

Dalam satu perjumpaan dalam kalangan penduduk saya  telah melontarkan idea agar JKKK Kg Endah memohon kerjasama  Kerajaan Negeri  mendapatkan tanah yang dikehendaki melalui Akta  pengambilan balik Tanah 1960 KTN. Saya lontarkan idea tersebut berdasarkan pengalaman  berkhidmat di Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan, memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam urusan mendapatkan tanah untuk tujuan awam bagi tujuan tapak-tapak pendidikan di seluruh Negara. 
Saya sarankan kaedah yang sama, digunapakai dalam usaha mendapatkan tanah untuk projek pembesaran Kg. Endah.

AJK Projek

Ke arah pamantapan dan merealisasikan usaha memperoleh tanah  untuk projek pembesaran Kampung,  AJK Projek telah ditubuhkan dengan barisan kepimpinan dan penasihat antaranya spt berikut.
- Pengerusi- Tuan Hj Mustapin Bin Hj Aris
- Setiausaha- Cikgu Hanif Bin Hj Misnan
- Bendahari-Tuan Hj Salimi Bin Hj Misnan- bekas Tentera
- AJK- Helmi Bin Misbah
Penasihat-
- YB Tuan Hj Sairon Bin Hj Abdul Hamid ADUN Batu Laut.
- Hj Muhamad Jasman Bin Hj Jurami - PTD

Kertas Projek

Sebagai penasihat, saya telah menyediakan Kertas Kerja Projek Pembesaran Kg. Endah. Dalam kertas tersebut Kerajaan Negeri dimohon mengambil balik tanah mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 bagi tujuan awam untuk pembesaran Kg. Endah.

Seterusnya Kerajaan Negeri dimohon meluluskan pemberian milik tanah tersebut kepada para peserta. 

Antara lain kertas yang disediakan juga menyatakan tentang;
Tujuan Kertas adalah untuk pembesaran Kg. Endah yang amat diperlukan untuk membolehkan generasi kedua dan ketiga memiliki tanah dan membina rumah.  

Tapak tanah seluas setengah ekar yang dimiliki ibubapa tidak mencukupi untuk menampung keperluan anak-anak membina rumah sendiri.

Dalam kertas kerja yang disediakan saya menetapkan jumlah bayaran sebanyak RM5,000 bagi setiap peserta untuk menunjukkan kepada Kerajaan Negeri bahawa peserta mempunyai kesungguhan  yang amat tinggi  dalam mengumpul dana untuk memiliki tanah.

Saya bentangkan kertas kerja yang disediakan  dalam mesyuarat JKKK Projek yang di pengerusikan arwah Hj Mustapin dan turut dihadiri arwah YB Tuan Hj Sairon. Mesyuarat bersetuju dengan kertas kerja tersebut dan YB Tuan Hj Sairon telah membawanya kepada Pihak Berkuasa Negeri Selangor.

Saya, arwah Hj Mustapin dan beberapa AJK projek dengan menggunakan motor  meredah   dan mengenalpasti tapak tanah yang dikehendaki .

Sebahagian ladang milik Golden Hope  ditanam kelapa sawit berumur lebih 20 tahun,  merupakan laluan rentas saya dan kawan-kawan semasa berbasikal ke Sekolah menengah di Telok Datok, sering terjumpa ular berwarna hitam.

Kelulusan Kerajaan Negeri

Kerajaan Negeri di bawah Pentadbiran Tan Sri Muhammad Muhamad Taib telah meluluskan dan melaksanakan pengambilan  balik tanah bagi tujuan Awam untuk pembesaran Kg. Endah seperti yang dimohon. Seterusnya Kerajaan Negeri melalui Pentadbir Tanah Daerah Kuala Langat mululuskan pemberian milik kepada para peserta berdasarkan pelan susun Atur  Pejabat Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor bth 11/1/1993; mengandungi 421 lot, beserta pelbagai tapak untuk kemudahan awam, termasuk padang permainan, surau, tabika dan kedai, dengan keluasan keseluruhan 110 ekar.  Keluasan  7800 kaki persegi bagi lot Tengah dan lebih luas bagi lot tepi dan corner lot. Bayaran premium yang ditetapkan oleh Kerajaan pada awalnya sebanyak RM1 sekaki persegi.
Oleh yang demikian  jumlah bayaran  sebanyak RM5,000 untuk setiap peserta tidak mencukupi untuk pembayaran  premium yang ditetapkan.


Pelan Susun atur Pembesaran Kg. Endah

pelan susun atur

Rayuan Pengurangan Kadar Premium

Kadar jumlah bayaran

Premium lebih daripada RM5,000 dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Projek.
Berdasarkan pengalaman berkhidmat di Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan saya telah menyediakan surat Rayuan memohon pengurangan kadar premium tanah  sebanyak 50 peratus atau 50 sen skp dan tempoh kelulusan tanah dimohon dilanjutkan selama 6 bulan. 

Antara alasan pengurangan adalah kerana bayaran premium yang dikehendaki membebankan peserta/ penduduk yang sebahagian besar adalah orang kampung, petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap, tidak berkemampuan.  

Saya telah menyediakan surat rayuan pengurangan premium tersebut ditandatangani oleh Tuan Hj Mansur Hj Idris Ketua Kampung,  Pengerusi JKKK. Surat tersebut dialamatkan  kepada YAB Menteri Besar Selangor dan salinan kepada Pentadbir Tanah Daerah Kuala Langat. Saya bersama  arwah Tuan Hj Mustapin Hj Aris, Pengerusi Jawatankuasa Projek telah membawa surat tersebut dan berjumpa Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu di pejabat Beliau di Bangunan SUK Shah Alam.

Kami berpeluang berjumpa dan berbincang dengan YAB Menteri Besar kira-kira limabelas minit berdasarkan kawan semasa belajar di Universiti Malaya dan urusan permohonan pengurangan premium.

Alhamdulillah Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju mengurangkan bayaran premium tanah daripada RM1 skp kepada 60sen skp  melalui kelulusan permohonan Tanah Notis 5A KTN yang baru. Berdasarkan kelulusan tersebut jumlah bayaran yang ditetapkan kepada peserta sebanyak RM5,000  adalah mencukupi bagi bayaran premium lot tengah seluas 7,800 kp (669 mp) berjumlah RM4,322  dan bayaran ukur sebanyak RM220. 

Bagaimanapun bagi peserta yang memperoleh lot tepi atau corner lot masih perlu membuat bayaran tambahan.

Agihan Lot

Agihan lot kepada para peserta adalah berdasarkan  ketetapan pejabat Tanah Kuala Langat.
Dalam penentuan lot tersebut, Pejabat Tanah Kuala Langat juga mengambil kira perakuan YB Tuan Hj Sairon agar lot-lot tepi dan corner lot diberikan kpd peserta yang pada penilaian beliau telah berjasa  menyumbang kepada kejayaan Kampung dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan lebih-lebih lagi kepada JKKK dan pencetus idea dan penggerak projek pembesaran Kampung.

Kurang keyakinan peserta

Ada dalam kalangan peserta kurang keyakinan ke atas projek ini, apatah lagi mereka menganggap prosesnya terlalu lama. Justeru terdapat dalam kalangan peserta menarik diri sebelum hak milik dikeluarkan menyebabkan urusan permohonan semula dibuat  bagi mengantikan peserta asal dengan peserta yang baru.

Penyampaian hakmilik

Bagi memastikan hakmilik dapat dikeluarkan, Tuan Hj Salimi Bin Hj Misnan selaku Bendahari telah menjelaslan segala tuntutan bayaran  Premium bagi pihak peserta projek. Walau bagaimanapun  hakmilik daripada Pejabat Tanah Kuala Langat telah diserahkan secara berperingkat;

1) Sebahagian besar Suratan Hakmilik lot tengah bertarikh 24/4/1999 diserahkan oleh Pegawai Pejabat Tanah dalam satu majlis sederhana di padang Sekolah.

2) Suratan Hakmilik  corner lot/tepi bth 27/8/2001serahkan  dalam majlis yang meriah oleh YAB  Dr Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor. Semasa majlis tersebut  beberapa payung terjun daripada Heli telah turun mendarat di padang bola. Dimaklumkan oleh Juruacara majlis bahawa  Penerjun membawa bersama Suratan hakmilik untuk diserahkan mepada peserta. Saya dan AJK projek   menerima  hakmilik yang disampaikan  YAB  Menteri Besar Selangor di atas pentas.

3) Suratan Hakmilik kepada peserta baru/ganti bertarikh 23/4/2003 disampaikan  YAB Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor di sebuah hotel di KLIA  bersempena dengan majlis makan malam anak-anak kampong. Semasa itu  YB Dato Karim Bin Hj Mansor, sebagai YB Dun Tanjung Sepat. (asalnya Batu Laut)


Pecah tanah oleh YAB PM

Majlis pecah tanah projek pembesaran Kg. Endah disempurnakan  Dr Mahathir Mohammad, Perdana Menteri ketika itu; sempena lawatan beliau ke Kg. Endah pada 20/1/ 1996. Semasa lawatan tersebut saya berkhidmat di Bahagian Perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar /KPLB (KKLW) .  Antara tugas utama saya ketika itu adalah sebagai Urusetia dalam penyediaan Falsafah dan Strategi Baru Pembangunan Luar Bandar menjelang 2020, ke arah kampung sebagai tempat tinggal yang Maju, Menarik dan Menguntungkan dengan pelbagai inisiatif  pembangunan modal  Insan di samping prasarana.


keluarga penulis ketika Pecah Tanah

Ketika itu Dato Anwar Musa (sekarang Tan Sri) adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sempena lawatan YAB Perdana Menteri ke Kg. Endah 1994, KPLB telah membentuk Jawatankuasa Induk lawatan dianggotai pegawai dari pelbagai Agensi, dipengerusikan Dato Hjh Rahmah Hj Kassim, TKSU KPLB dan saya sebagai Setiausaha. 

Sebagai Setiausaha saya telah melaksanakan tugas-tugas antaranya menyelaraskan aturcara program, buku profail Kg. Endah, Talking point  YAB Perdana Menteri, ucapan Tuan Hj Mustapin  Bin Hj Aris Pengerusi Projek bagi pihak JKKK Kampung 
 dan lain-lain tugas.

Talking point YAB Perdana Menteri diserahkan ke pejabat Perdana Menteri. Antara   kandungannya memaklumkan tentang senario Kg. Endah yang telah maju dan cemerlang. Bagaimanapun keperluan kemudahan asas khususnya bagi projek pembesaran Kampung yang telah dilulusksn Kerajaan Negeri perlu diberi keutamaan dan disegerakan.

Manakala  kandungan teks ucapan Tuan Hj Mustapin  menyentuh tentang kejayaan memperoleh tanah atas usaha mengumpul dana dalam kalangan penduduk kampung dan apa yang masih diperlukan adalah perlaksanaan infstrukturnya/prasarana yang perlu pembiayaan Kerajaan.

Selepas YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan yang memberikan penuh harapan kepada penduduk, YAB Perdana Menteri  membuat lawatan disekitar kampung, dibawa ke tapak projek pembesaran kampung seterusnya menyempurnakan majlis pecah tanah sebelum berakhir dengan majlis makan tengah hari di rumah YB Tuan Hj Sairon Bin HjAbdul Hamid.

Semasa lawatan YAB Perdana Menteri, Jawatankuasa Induk lawatan telah bersetuju dengan perakuan saya untuk menyampaikan hadiah kepada pemimpin/penduduk kampung yang telah berjasa;

1) YB Tuan Hj Sairon Bin Hj Abdul Hamid,Adun Batu Laut.

2) Tuan Hj Taib Bin Marlan, Iman masjid Kg. Endah dan guru Alquran.  Hadiah tersebut telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri di pentas utama.



keluarga penulis yang hadir ketika majlis tersebut

Kampung Terbaik

Pada tahun 1994, Kg. Endah telah berjaya memperoleh Johan  Pertandingan Kebersihan Keindahan dan Kemajuan Kampung Peringkat Kebangsaan. Hadiah kemenangan sebanyak RM320,000 telah disampaikan Y.A.B. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad, di Bandar Pusat Jengka.


sijil penghargaan johan peringkat negeri

Berbanding Kampung lain yang juga telah maju dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, kebersihan, keselamatan dll. Kelebihan Kg. Endah berbanding kampung-kampung yang lain ialah kemampuan penduduknya dapat bersama mengumpul dana dan berjaya memiliki tanah untuk pembesaran Kampung sebagai suatu inovasi yang tidak terdapat di kampung lain. Malah dalam beberapa siri ceramah di Pahang sering kedengaran penceramah memberikan contoh kejayaan Kg. Endah mengumpul dana hingga berjuta ringgit dan adanya integriti dalam kalangan JKKKnya.

Pengiktirafan kejayaan Kampung  ini secara langsung dan tidak langsung telah membantu  pembangunan Kampung seterusnya khususnya dalam usaha mendapatkan kemudahan Infrasruktur di Indah Perdana.


Kerja Ukur dan meratakan tapak

Pada masa tapak projek pembesaran Kg. Endah diberimilik kepada peserta, tapak tersebut masih bertanam kelapa sawit berumur lebih 20 tahun. Bagi tujuan kesegeraan projek, JKKK  Projek setelah bermesyuarat  memutuskan melantik Juruukur swasta untuk kerja-kerja ukur dan pemasangan batu sempadan dan melantik 
Kontraktor/pekerja tempatan melaksanakan kerja-kerja penebangan pokok kelapa sawit dan meratakan tapak. 

Kerja-kerja tersebut telah  menggunakan wang dana terkumpul daripada peserta.

Manakala bagi  kemudahan prasarana dan utiliti; jalan kampung  bekalan air paip dan elektrik, permohonan projek telah dibuat kepada Pejabat Daerah untuk pertimbangan dan perakuan ke Pejabat Kemajuan Negeri seterusnya ke KPLB dan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Saya yang berkhidmat di KPLB kerap mengambil tindakan susulan dengan menarik perhatian dan memohon bantuan pegawai-pegawai, kawan-kawan yang berkhidmat di Peringkat Daerah, Negeri dan  Kementerian akan keperluannya dengan mengaitkan YAB Perdana Menteri telah menyempurnakan pecah tanah projek dan Kg. Endah sebagai Kampung terbaik peringkat kebangsaan.

Alhamdulillah Keperluan prasarana projek pembesaran Kampung Endah dapat disenaraikan  dalam Rancangan Malaysia Lima tahun (RMLT) dan  bajet Tahunan.  Kini perlaksanaannya menjadi suatu realiti. 

Projek pembesaran Kg. Endah, Jalan dan lorong yang ada diberi  nama Indah Perdana sempena pecah tanah oleh YAB Perdana Menteri  20/1/1996. 

Arwah Hj Anuar Bin Hj Misnan dan isterinya Hjh Wasiah Bt Hj Aris, generasi kedua Kg. Endah merupakan keluarga pertama membina rumah, sebuah bunglo di Jln Perdana 1, Indah Perdana dan mendudukinya pada awal tahun 2000.

Penulis 
Hj Muhamad Jasman Bin Hj Jurami @ MJJ 5/2/2018

Comments

  1. Assalamualaikum Tuan Haji.. Terima Kasih atas perkongsian serba sedikit tentang sejarah Endah Perdana. Sekurangnya ada pencerahan bagi generasi seterusnya.. Sy sendiri mpunyai lot tanah di Endah Perdana yg di beli sendiri.. Insyaallah, akan dipertahankan... Al-fatihah kepada Arwah-arwah yg terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Semoga jasa mereka semua mendapat balasan yg setimpal dariNya, Insyaallah...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

29052018 : Jeruk Mangga Tanpa Cuka by Ety Jamilah

01012019 : Taman SPPK Segambut kini DutaMas Seroja

20092018: Budaya Menyumbang (salam kaut) ketika majlis perkahwinan